Penglibatan artis lama dalam konsert Sijori yang berakhir semalam
dilihat sebagai satu inspirasi untuk menggalakkan lagi golongan muda
menjadi insan yang berjaya.
Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Azalina Othman Said berkata, barisan
artis otai yang diundang untuk menjayakan konsert tersebut masing-masing
telah mencipta kejayaan tersendiri, malah mereka semua terdiri daripada
artis yang mempunyai latar belakang yang berjaya.
“Kita tidak memanggil artis ini untuk mempergunakan mereka bagi tujuan
kepentingan politik. Sebagai bukti mereka sendiri tidak memakai baju
yang mewakili Umno dan berlogokan Barisan Nasional (BN). Sebaliknya konsert ini adalah bertujuan untuk menyuntik semangat
golongan muda untuk mencontohi kejayaan yang telah dicapai artis ini.
“Secara tidak langsung mereka ini dapat menjadi ukuran kejayaan buat
golongan muda khususnya di kawasan Parlimen Pengerang,” katanya pada
sidang media yang berlangsung di Hotel Lotus Desaru, semalam.
Menurut Azalina, konsert Sijori yang menggabungkan artis tiga negara
itu amat unik kerana ia diatur sepenuhnya oleh golongan muda terdiri
daripada badan bukan kerajaan (NGO) Parlimen Pengerang tanpa bantuan
tajaan daripada mana-mana pihak.
Tambahnya, walaupun konsert tersebut menampilkan barisan artis terdiri
daripada artis lama namun masih menjadi idola dan muziknya tetap
digemari oleh golongan muda.
Dalam pada itu, salah seorang artis lama yang menjayakan konsert
tersebut, Ramli Sarip berkata, golongan muda pada hari ini haruslah
mempunyai asas budaya dan agama jika mahu berjaya.
“Bukan mudah untuk sampai ke tahap seperti mana kami lalui pada hari
ini kerana banyak elemen perlu dititikberatkan termasuklah sabar, restu
ibu bapa dan disiplin diri di samping mempunyai mental dan fizikal yang
kuat. Bagi saya, muzik adalah kehidupan bukan hiburan. Malah saya sendiri
belajar kehidupan melalui muzik,” katanya pada sidang media tersebut.
Antara artis yang turut sama hadir pada sidang media itu ialah Mas Idayu, Idang Rasjidi, Man Kidal, Jatt Ali dan lain lain.
No comments:
Post a Comment