Saturday, September 15, 2012

KERAJAAN LAKSANA AMANAH, TEPATI JANJI


Kerajaan telah melaksanakan amanah rakyat dengan penuh tanggungjawab dan menepati janji-janji yang dibuat di semua peringkat sejak negara merdeka. Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, hasilnya, hanya dalam tempoh satu generasi, negara bukan sahaja dapat mengurangkan kemiskinan di bawah paras satu peratus malah berjaya melahirkan generasi kelas menengah dan profesional yang besar.

“Lebih lima dekad berlalu, segala pencapaian yang diraih ini bukanlah terjadi secara kebetulan. Setiap sesuatu dirancang dan dilaksana secara tersusun dengan pertimbangan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.

“Banyak sudah yang telah kita lakukan dan banyak sudah janji yang kita lunaskan, namun, ia tidak akan berhenti di situ kerana perjalanan masa depan negara ini tidak ada noktahnya bagi kerajaan," katanya.

Abdul Ghani berkata, kerajaan dapat melakukan segalanya berkat sokongan padu rakyat selain ditunjangi suasana keamanan, kestabilan politik, kedaulatan undang-undang, ketentuan dasar, perancangan yang rapi, pelaksanaan yang berkesan, daya saing yang tinggi dan permuafakatan serta pengorbanan semua pihak.

“Sejak sekian lama kerajaan ini yang diberi mandat oleh rakyat, telah mentadbir dan berusaha dengan ikhlas untuk membela rakyat.

“Kita bukan sahaja memerdekakan tanah air, menebus maruah bangsa yang sekian lama terjajah, bahkan mentransformasi negara dan rakyatnya, dari sebuah negara mundur ke ambang sebuah negara maju," katanya.

Selain itu, katanya, rahsia kejayaan kerajaan adalah penyediaan hala tuju yang komprehensif dan dipersetujui oleh semua serta terpahat dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Maka, kalau ada orang bercakap soal demokratik, sebenarnya kitalah yang paling demokratik. Kita sangat demokratik dalam soal pendidikan, kita cukup demokratik memelihara warisan, budaya dan bahasa.

“Kita tidak membezakan dalam membela sama ada yang majoriti mahupun yang minoriti. Kita tidak tidak pernah menidakkan hak sesiapa pun," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...