Pembukaan Legoland Malaysia, taman tema baharu di Iskandar Malaysia yang
dijadual pada September ini, sememangnya dinanti-nantikan semua pihak
di negeri ini termasuk usahawan kecil. Bendahari Gabungan Persatuan Teksi Berdaftar Johor Baharu (Gapet) Hadi
Mohamed berkata pembukaan taman tema itu akan memberi rezeki tambahan
kepada mereka.
"Ramai dalam kalangan penumpang, terutama dari Singapura kerap bertanya
tentang pembukaan taman ini dan dan kami sendiri pengusaha teksi,
kereta sewa dan kereta ekslusif tidak sabar menunggu untuk taman tema
itu dibuka secara rasmi pada 22 Sept nanti," katanya.
Katanya ramai antara pengusaha teksi juga mengambil inisiatif
mempromosi taman tema tersebut dengan mengedarkan risalah mengenainya.
"Kami yakin apabila taman tema itu dibuka nanti ia mampu memberikan lebih pendapatan kepada kami," katanya.
Sementara itu, pengiat bidang pelancongan Liza Alip yang juga Pengarah
Urusan Eascost Adventure Travel and Tour Sdn Bhd, Legoland merupakan
satu lagi produk pelancongan bercorak kekeluargaan yang boleh
dipromosikan bukan sahaja kepada pelancong tempatan tetapi juga luar
negara.
"Kalau dahulu, kita mungkin hanya mempromosikan keindahan pulau-pulau
yang ada di Johor seperti Tioman dan juga makanan laut, namun kini kita
mempunyai satu ikon pelancongan baru yang boleh dipromosikan untuk
percutian keluarga.
"Jika Singapura boleh berbangga dengan Universal Studionya, kini kita
boleh berbangga dengan Legoland dan ia merupakan dua taman tema yang
mempunyai konsep berbeza," katanya.
Beliau turut melahirkan keyakinan dengan adanya taman tema itu
pelancong, terutama yang berkeluarga, akan tinggal lebih lama di Johor
berbanding sebelum ini.
Sementara itu Pengurus Pemasaran dan Komunikasi Thistle Hotel Aidah Abd
Rahman berkata pembukaan taman tema interaktif tersebut dijangka
meningkatkan tempahan bilik terutama ketika musim cuti persekolahan.
"Dengan adanya ikon baru ini, ia memberikan satu pulangan besar jangka
masa panjang bukan sahaja untuk bidang perhotelan tetapi juga industri
lain. Jadi kebanyakan penggiat indsutri perhotelan sekarang sedang
bersedia meningkatkan kualiti perkhidmatan untuk menerima kehadiran
pelancong," katanya.
Taman tema itu dibangunkan oleh Theme Attractions and Resorts, sayap
operasi dan pengurusan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) bersama Merlin
Entertainments dengan kos RM720 juta di atas kawasan seluas 31 hektar di
Medini North.
Legoland Malaysia yang bertempat di Nusajaya itu merupakan yang keenam
di dunia selepas Legoland Billund, Legoland Windsor, Legoland
California, Legoland Deutschland dan Legoland Florida.
No comments:
Post a Comment