Rakyat diingatkan supaya menolak budaya songsang yang dibawa oleh
pembangkang kerana ia bertentangan dengan amalan kehidupan rakyat
Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika memberikan
peringatan itu berkata jika budaya songsang terbabit diterima, ia akan
menghancurkan segala yang telah dicapai oleh negara ini dan rakyatnya.
"Kita perlu menentang pihak-pihak yang cuba membawa budaya songsang ke
negara ini yang tidak secocok dan berbeza dengan amalan-amalan rakyat
negara ini. Budaya songsang ini akan menghancurkan negara, kita perlu
menolak mereka," katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran meminta rakyat berwaspada dengan
tindakan pembangkang yang ketika ini bergerak ke merata tempat dalam
negara menggunakan bas untuk berkempen. Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia di bawah pemerintahan
kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) telah berjaya membawa kemajuan
terhadap rakyat dan negara keseluruhannya.
Katanya, pendapatan per-kapita rakyat negara ini telah melonjak sehingga
ke US$9,700 pada hari ini, suatu tahap yang amat tinggi bagi sebuah
negara membangun seperti Malaysia.
"Selain itu, sejak merdeka kita juga telah berjaya mengurangkan kadar
kemiskinan rakyat daripada 70 peratus ketika kita mula-mula merdeka
kepada hanya 3 peratus pada ketika ini," menurut beliau.
Pentadbiran negara yang ditunjangi oleh BN, kata Muhyiddin juga telah
berjaya mewujudkan pelbagai institusi seperti universiti, institut,
akademi serta lain lagi, bertujuan membina asas-asas kenegaraan kepada
rakyatnya.
Menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP), katanya kemajuan dan
pembangunan Malaysia akan dianjak ke tahap yang lebih tinggi, selain
memastikan rakyat pelbagai kaum menerima pelbagai kemudahan asas di
samping memperolehi pendapatan yang lebih tinggi.
Muhyiddin berkata, apa yang dilakukan oleh BN adalah bertentangan
dengan pembangkang yang hanya pandai "menjanjikan bulan dan bintang"
kepada rakyat tetapi gagal untuk menunaikannya. Pembangkang menurutnya, juga pernah menyatakan bahawa segala perkara
yang terkandung di dalam manifesto parti mereka bukanlah suatu janji dan
oleh kerana itu, ia tidak perlu ditunaikan.
"Jikalau itu pandangan mereka (pembangkang), buat apa mereka menjaja
perkara -perkara yang terkandung di dalam Buku Jingga mereka," kata
Timbalan Perdana Menteri sambil meminta rakyat supaya tidak mudah
terpedaya.
Sementara itu, beliau turut meminta anggota Wanita Umno dan Wanita BN
supaya meneruskan program dan aktiviti mendekati rakyat, supaya segala
permasalahan dihadapi rakyat dapat diselesaikan.
Sekarang katanya, bukanlah masa untuk berehat dan leka ,sebaliknya,
meneruskan segala aktiviti mendekati rakyat bagi memastikan BN kembali
berkuasa pada pilihan raya umum yang akan datang ini.
No comments:
Post a Comment