Peribahasa Melayu bermadah ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu’ Begitu juga halnya dengan penduduk Pengerang dan rakyat Johor secara
umumnya yang tidak mungkin terlintas di minda mereka negeri Johor akan
menjadi sebuah hab minyak dan gas yang terpenting di Malaysia.
Walaupun selama ini mereka boleh berbangga dengan sektor oleokimia
yang sudah lama bertapak di kawasan perindustrian Pasir Gudang,
kemudahan logistik yang bagus di Tanjung Pelepas, Tanjung Langsat dan
Tanjung Bin, kini dengan aspirasi Kerajaan Pusat melalui Program
Transformasi Ekonomi Negara (ETP) dan kesungguhan kerajaan negeri Johor
sendiri, mereka akan menikmati lonjakan taraf ekonomi apabila Pengerang
dijadikan kawasan pembangunan hab minyak dan gas yang terbesar di rantau
Asia Pasifik.
Sebagai anak dagang yang mencari rezeki di negeri Johor, perkembangan
ini dianggap mengujakan terutama dengan peluang dan potensi yang akan
datang untuk turut serta dengan pembangunan ini.
Hingga sekarang, walaupun tiada sebarang projek eksplorasi minyak
atau gas dijalankan di luar pesisir lautan dan pantai di perairan Johor,
ia bukan pematah semangat kerajaan membangunkan industri petroleum ini.
Jika Singapura boleh berbangga dengan aktiviti jual beli minyak
terbesar di rantau ini dan ketiga di dunia walaupun tiada setitik minyak
mentah atau gas dihasilkan di negara mereka, tidak mustahil Johor juga
akan mendapat penarafan yang serupa. Pelaburan besar syarikat tempatan iaitu DIALOG dan Petronas
memungkinkan hasrat ini akan menjadi kenyataan sambil dibantu oleh
kerajaan dan agensi berkaitan yang begitu komited dalam pembangunan dan
seterusnya hasilnya akan dinikmati rakyat Malaysia sendiri.
Setakat ini, DIALOG mengumumkan pelaburan berjumlah RM5 bilion bagi
membangunkan Pengerang sebagai Rotterdam Asia dengan pembinaan sebuah
Terminal Laut Dalam Bebas yang mana apabila ia siap sepenuhnya akan
menyediakan tangki simpanan produk petroleum yang berkapasiti lima juta
meter padu. Begitu juga Petronas, sebuah syarikat tempatan tunggal tersenarai
dalam Fortune 500 pada 13 Mei lalu melancarkan secara rasmi pembangunan
kompleks bersepadu penapisan dan petrokimia yang dikenali sebagai projek
Petronas Rapid (Refinery and Petrochemical Integrated Development).
Jumlah pelaburan yang diumumkan Petronas mencecah RM60 bilion dan ia
menjadikannya penanaman modal terbesar di Malaysia yang berpusat di satu
lokasi. Komponen pembangunan yang akan diwujudkan di kawasan Hab Industri
Minyak dan Gas Pengerang meliputi satu rantaian yang lengkap dalam
mengoptimumkan aset hidrokarbon. DIALOG akan membangunkan tangki penyimpanan minyak mentah dan produk
petroleum yang diimport atau yang diproses di kawasan industri.
Manakala, Petronas dengan pelaburan yang besar akan membangunkan
kilang penapisan minyak yang berkapasiti 300,000 tong sehari, loji
petrokimia, loji regasifikasi dan juga loji jana kuasa elektrik. Selain untuk pasaran tempatan, kedua-kedua pelabur terbabit akan
memasarkan produk dan perkhidmatan mereka untuk pasaran serantau dan
timur Asia. Permintaan tinggi dengan jumlah penduduk melebihi tiga bilion
menjadikan pelaburan yang dilakukan ini sungguh strategik dan realistik.
Pembangunan industri berat dan pembinaan infrastruktur moden dan
canggih yang dinikmati kawasan Pengerang ini tidak membawa makna
sekiranya pembangunan modal insan diketepikan. Pihak kerajaan melalui institusi latihan tempatan seperti Kolej
Komuniti dan lain-lain tempat latihan sudah mula mengorak langkah dalam
mempelbagaikan skop latihan mereka bagi menjadikan rakyat tempatan
berdaya saing dan mampu memikul tugas apabila kompleks petroleum di
Pengerang mula beroperasi.
Dengan permintaan yang tinggi dan mampu menawarkan pendapatan yang
lumayan, industri minyak dan gas di Pengerang ini sudah pasti mampu
merubah nasib generasi kita yang akan datang terutamanya penduduk
setempat. Pendekatan strategik juga akan digunakan dalam pembangunan hab industri minyak dan gas di Pengerang ini. Kerajaan bersama agensinya akan meneliti aspek keusahawanan,
pendidikan, latihan, peningkatan taraf sosioekonomi dan lain-lain yang
sudah tentu akan menjadi agenda utama kerajaan dalam membangunkan
kawasan Pengerang ini.
Selaras dengan hasrat rakyat yang mahu turut serta dalam projek
pembangunan ini, pihak kerajaan juga sedang membangunkan satu pelan
induk yang khusus bagi membantu menyelaraskan semua komponen pembangunan
yang akan dibuat di Pengerang. Begitu juga pembabitan kontraktor tempatan akan dititikberatkan bagi
memberi mereka peluang untuk menerokai bidang minyak dan gas ini. Isu alam sekitar dan juga perubahan sosioekonomi yang sering menjadi
tohmahan politik juga pasti amat dititikberatkan oleh pihak kerajaan
dalam meneliti pelan pembangunan di Pengerang. Setiap pelaburan yang dibuat di Pengerang sudah tentu akan melalui
kajian dan penilaian kesan alam sekitar dan juga perlu melepasi syarat
ditetapkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.
Selain daripada itu, pihak kerajaan negeri melalui Unit Perancang
Ekonomi Negeri Johor juga pasti menggariskan pelbagai aktiviti
peningkatan taraf ekonomi khusus kepada rakyat sekeliling terutamanya
penduduk yang terbabit dengan proses pemindahan bagi memberikan laluan
kepada pembangunan ini. Jika dilihat pembangunan di Kerteh atau Miri yang memiliki industri
yang serupa iaitu minyak dan gas, ia jelas memberikan gambaran baik
kepada penduduk terbabit dan yang berada di sekitarnya pada masa yang
akan datang. Jika dulu Kerteh juga adalah perkampungan nelayan, hari ini ia sudah berubah seiring dengan kemajuan yang dibawa.
Pembangunan Mesra Mall, sistem jalan raya yang baik, kemudahan awam
yang setaraf dengan bandar besar dan lain-lain ialah bukti bagaimana
pembangunan yang terancang mampu mencorakkan kehidupan yang lebih baik
untuk penduduk sekitarnya. Tanggungjawab sosial korporat syarikat awam juga memainkan peranan
yang utama dalam memajukan rakyat selaras dengan pembangunan yang
dibawanya. Syarikat DIALOG ketika majlis pecah tanahnya baru-baru ini juga mengambil peluang melancarkan program MyKasih mereka.
Program memberi bantuan kepada penduduk yang memerlukan membeli
keperluan asas secara percuma ini memberi refleksi yang bagus dan
seimbang dengan pembangunan yang dibawa tanpa mengabaikan masyarakat
setempat. Petronas yang kita tahu sudah lama mempraktikkan tanggungjawab sosial
korporat ini sudah tentu juga tidak akan mengabaikan rakyat tempatan.
Jika sebelum ini mereka mengumumkan program latihan teknikal kepada
penduduk tempatan, tidak mustahil mereka juga akan membawa program yang
lain seperti Program Bakti Pendidikan Petronas, Program Sentuhan Kasih,
Penawaran Biasiswa kepada pelajar untuk belajar di Universiti Teknologi
Petronas atau di lain-lain institusi yang menawarkan bidang pengajian
yang berkaitan minyak dan gas.
Apa yang terpenting sekarang ini ialah penggemblengan tenaga daripada
semua pihak bagi bersama-sama membantu pembangunan di Pengerang. Seperti titah Tuanku Sultan Johor tempoh hari semasa majlis
pelancaran Petronas Rapid iaitu: “Jangan ada pihak-pihak yang mengambil
peluang untuk menentang pembangunan dirancang.
“Semua pihak harus saling membantu dan prihatin dengan cadangan dan komen daripada pelbagai pihak bagi memajukan projek ini. Jika pembangunan ini ditolak, ada pihak yang selama ini kurang maju akan terus terpinggir. Projek ini sebenarnya juga akan memberi peluang kepada anak tempatan
yang selama ini berkelana mencari rezeki di tempat orang untuk pulang
mencari rezeki di bumi sendiri.
“Buat penduduk Johor amnya dan Pengerang khasnya ‘hujan emas akan
membasahi bumi anda’, hargailah peluang yang ada dan marilah kita
bersama-sama menjayakan aspirasi negara ini sambil mengambil peluang
atau ‘berhijrah’ ke era yang lebih baik sambil menikmati limpahan
peluang yang akan mendatang.”-28/5/2012
Sumber Agendadaily
Sumber Agendadaily
No comments:
Post a Comment