Sultan Johor Sultan Ibrahim hari ini melahirkan rasa murka terhadap Mohammad Nizar Jamaluddin yang
mengkritik tindakan baginda membida nombor pendaftaran kenderaan WWW 1
menerusi laman Twitter, baru-baru ini.
Sultan Ibrahim bertitah tindakan Mohammad Nizar itu juga merupakan satu
penghinaan kepada rakyat dan kedaulatan negeri Johor dan baginda
berharap Anggota Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang itu sedar mengenai
kesilapannya.
"Baru-baru ini ada pemimpin politik yang secara terang-terangan
mengkritik tindakan saya membida nombor pendaftaran di Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ). Adakah dia lupa tentang adab Melayu atau
sememangnya dia seorang yang jahil dan cetek akalnya?
"Janganlah cuba berlagak pandai jika tidak berilmu dan janganlah
mengeluarkan kenyataan sesuka hati jika tidak tahu perkara yang sebenar.
Bukankah berdiam diri itu lebih baik daripada berkata yang tidak baik?
Kepada pemimpin seperti ini, nasihat saya, janganlah sibuk mencari kudis
di kaki orang lain, sedangkan tokak di kaki sendiri tidak mampu
diubati," titah baginda ketika merasmikan pembukaan penggal persidangan
kelima Dewan Negeri Johor ke-12, di Kota Iskandar, di sini, Khamis.
Sultan Ibrahim bertitah setiap tindakan yang baginda lakukan adalah
mengikut cara dan jalan yang betul dan baginda berharap setiap kebajikan
yang baginda lakukan tidak perlu diperbesarkan.
No comments:
Post a Comment