Fasa pertama perbicaraan pengambilan tanah bagi projek Kompleks
Bersepadu Petroleum Pengerang (PIPC) berjalan lancar dengan tiada
seorang pun pemilik tanah yang mengembalikan Borang H setakat ini enggan
menerima pampasan.
Menurut anggota exco kerajaan negeri Datuk Ahmad Zahri Jamil, fasa
pertama perbicaraan pengambilan tanah yang berlangsung pada 3 hingga 14
Sept lepas itu melibatkan 210 lot tanah dan 434 pemilik.
"Sebanyak 434 Borang H telah dikeluarkan pada semua yang terlibat.
Sebanyak 216 Borang H telah dikembalikan iaitu sebanyak 50 peratus. Daripada 216 Borang H yang dikembalikan itu, didapati tiada seorang
pun tuan tanah yang tidak menerima langsung tawaran pampasan, iaitu
tidak terdapat langsung tuan tanah yang enggan menerima pampasan,"
katanya.
Menurut Ahmad Zahri, kesemua 434 Borang H yang dikeluarkan hendaklah
dikembalikan semula kepada Pejabat Tanah dalam tempoh enam minggu,
bersamaan 42 hari, sebagaimana tertakluk di bawah Akta Pengambilan
Tanah.
Borang H merujuk kepada amaun pampasan yang akan diberikan kepada setiap pemilik tanah atau pihak berkepentingan.
Ahmad Zahri berkata, 144 pemilik tanah menerima dengan bantahan,
bermakna mereka menerima sepenuhnya tawaran pampasan tersebut tetapi
pada masa sama boleh memfailkan permohonan ke Mahkamah Tinggi untuk
merayu nilai pampasan terbabit.
"Bagaimanapun, daripada mereka yang terlibat ini (144 orang), hanya
enam sahaja yang telah memfailkan permohonan rayuannya ke mahkamah,"
kata beliau.
Mengenai cek bayaran pampasan yang turut dilaksanakan secara berfasa,
beliau berkata 33 cek pampasan dengan jumlah keseluruhan RM13.7 juta
diserahkan kepada mereka yang terlibat.
Bagi fasa kedua pula, beliau berkata, 64 cek pampasan dengan jumlah
keseluruhan RM155.96 juta akan mula diserahkan kepada tuan-tuan tanah
terlibat mulai esok.
Bagi fasa ketiga yang melibatkan pampasan RM35.2 juta pula, beliau
berkata, cek bayaran mereka sedang disiapkan dan akan mula diserahkan
kepada tuan-tuan tanah pada minggu depan.
Ahmad Zahri berkata, bagi baki 37 Borang H yang baru sahaja diterima
hari ini daripada tuan-tuan tanah, cek pampasannya akan disedia secepat
mungkin.
Katanya, Pejabat Tanah Daerah Kecil Pengerang di Bandar Penawar akan
dibuka operasinya pada Sabtu dan Ahad ini bagi membolehkan penyerahan
cek-cek pampasan dilakukan serta memudahkan tuan tanah mengembalikan
Borang H.
Beliau berkeyakinan pada akhir proses pengambilan tanah ini, semua tuan
tanah yang terlibat akan bersetuju untuk menerima pampasan yang
diberikan kerana jumlahnya adalah amat lumayan. Menurut beliau, projek PIPC perlu disokong kerana ia bukan sahaja
memberi kebaikan kepada ekonomi Johor tetapi kesan positif projek
terbabit bakal dirasai oleh orang ramai di seluruh negara.
No comments:
Post a Comment