Monday, June 11, 2012

PEMBANGUNAN DI JOHOR, SELURUH NEGARA TERIMA KESAN POSITIF


Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata seluruh negara akan menerima kesan positif daripada limpahan pembangunan yang sedang rancak berlaku di negeri Johor pada ketika ini. Menurutnya, pembangunan berbilion ringgit di Johor juga membuktikan Johor dan Malaysia tetap menjadi destinasi pelaburan utama di rantau Asean bagi pelabur-pelabur dalam negara dan asing.

"Minat pelabur untuk datang ke Johor dan Malaysia masih kuat, menjadikan kita sebagai destinasi pelaburan yang utama di Asean. Kita percaya pertumbuhan yang pesat di Johor akan membantu pertumbuhan negara secara keseluruhan," katanya.

Muhyiddin memberi contoh bagaimana projek pembangunan di Iskandar Malaysia, selatan Johor yang sehingga kini telah berjaya menarik pelaburan daripada dalam dan luar negara. Sejak dilancarkan pada akhir 2006 sehingga kini, beliau berkata Iskandar Malaysia telah menarik pelaburan sebanyak RM83 bilion, dengan sebahagian besar daripada pelaburan terbabit sedang di dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Selain daripada itu, Johor turut menerima pelaburan besar di dalam bentuk pelaksanaan projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang oleh syarikat minyak negara, Petronas, katanya.

RAPID yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bulan lepas, menurutnya bakal menerima pelaburan keseluruhan sebanyak RM120 bilion, disamping mewujudkan kira-kira 40,000 peluang pekerjaan.

Selain Petronas, beberapa syarikat tempatan dan asing berkaitan minyak dan gas tempatan seperti Dialog Group Berhad dan pelabur daripada Taiwan turut telah bersetuju untuk melabur di dalam projek RAPID di Pengerang, katanya.

"Dengan segala bentuk pembangunan yang sedang dialami negara, saya yakin negara akan berjaya mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi sebanyak 6 peratus setiap tahun," katanya.

Mengenai pekebun kecil Risda pula, Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun berstatus pekebun kecil tetapi memberikan sumbangan yang amat besar kepada ekonomi negara. Katanya pekebun-pekebun kecil menyumbang kira-kira 90 peratus daripada output keseluruhan pengeluaran getah negara.

"Walaupun kecil, tetapi nilai pengeluaran mereka adalah besar," kata beliau dan menambah pekebun kecil perlu menggunakan kemudahan yang disediakan sama ada oleh Risda atau agensi-agensi lain untuk memajukan diri mereka.

Timbalan Perdana Menteri berkata selain menjadi pekebun kecil, mereka juga boleh menjadi pengusaha industri kecil dan sederhana untuk menambah pendapatan menerusi pelbagai sumber.

2 comments:

  1. Salam Blogger Johor.. Mohon link blog saya di blog tuan..
    terima kasih.. hidup anak Johor!

    http://mohdnajib27.blogspot.com/

    ReplyDelete
  2. OK done.. mohon link sekali blog ini di blog tuan.. terima kasih

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...