Thursday, August 9, 2012

PERPECAHAN PUNCA UMAT ISLAM LEMAH - SULTAN IBRAHIM


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan umat Islam supaya tidak berpecah-belah kerana tindakan itu hanya akan melemahkan mereka sehingga mudah dikalahkan musuh dan diperdaya pihak berkepentingan. Sehubungan itu, baginda bertitah, umat Islam perlu bersatu-padu kerana nilai murni itu menjadi asas kemajuan dan kesejahteraan ummah.



"Tanpa persefahaman dan perpaduan, masyarakat akan menjadi kucar-kacir. Masing-masing dengan sikap ego dan mengikut kehendak sendiri yang akibatnya tidak akan wujud persefahaman, perpaduan dan kesejahteraan dalam masyarakat. Al-Quran mengingatkan supaya jangan berpecah-belah, kerana ia akan melemahkan kekuatan dan kita akan menjadi umat yang mudah dikalahkan oleh musuh-musuh Islam. Jangan senang atau mudah diperdayakan oleh individu yang ada kepentingan diri sendiri," titah baginda.

Titah baginda itu dibacakan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berkenan merasmikan Majlis Khatam Al-Quran, Program Membudayakan Al-Quran peringkat negeri kali ke-17 di Masjid Jamek Kluang, di sini kelmarin.


Sultan Johor bertitah, rakyat dan kerajaan mempunyai peranan untuk memastikan perpaduan ummah sentiasa dipelihara aktiviti di masjid dan surau yang dipertingkatkan dengan program membudayakan al-Quran secara berterusan.

Baginda turut mengajak rakyat menghayati tafsiran surah al-Hujurat yang mengingatkan umat Islam supaya sentiasa berwaspada apabila menerima sebarang berita dan mencari kepastian terlebih dahulu sebelum menerima dan mempercayainya.

Titah baginda lagi, surah itu juga mengingatkan umat supaya tidak merendah atau memperlekehkan orang lain kerana wujud kemungkinan mereka yang diperlekeh itu adalah pihak yang lebih baik selain peringatan supaya tidak mendedahkan keaiban orang lain dan memanggil dengan gelaran yang tidak disukai.

"Ini kerana pelakunya boleh menjadi fasik kerana tidak layak orang beriman dipanggil fasik," titah baginda.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...