![]() |
Sekadar Gambar Hiasan |
QSR Brands Berhad (QSR), menerusi restoran KFC dan Pizza Hut
mengagihkan kira-kira 20,000 hidangan berbuka puasa percuma kepada
penghuni 230 rumah anak yatim, rumah kebajikan kanak-kanak dan rumah
orang tua di seluruh negara.
Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Kamaruzzaman Abu Kassim
berkata, dalam program amal tahunan yang dikenali sebagai Projek
Penyayang, KFC menyediakan kira-kira 12,800 hidangan ayam goreng
manakala Pizza Hut pula menghantar 7,500 piza ke institusi-institusi
kebajikan tersebut.
Beliau berkata, program berkenaan merupakan sebahagian daripada
tanggungjawab sosial dan aktiviti amal yang dijalankan empat kali
setahun.
"Kami yakin bahawa setiap kejayaan yang dicapai adalah hasil sokongan
pelbagai pihak terutama pelanggan setia, jadi amat wajar sekiranya kami
menghulurkan sebahagian daripada apa yang diperoleh kepada anggota
masyarakat yang kurang bernasib baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa dan
pelancaran Projek Penyayang KFC ke-56 dan Penghantaran Amal Pizza Hut di
sini.
Pada majlis tersebut, JCorp turut meraikan kira-kira 250 anak yatim,
insan kurang upaya dan kurang berkemampuan dari lima buah rumah
kebajikan di sekitar Pasir Gudang termasuk Orang Asli dari Kampung Pasir
di sini.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menghadiri
majlis berbuka berkenaan diiringi Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan
Idris; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Tunku
Temenggung Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim serta putera-puteri baginda
yang lain.
Hadir sama Pengerusi QSR Brands Berhad dan KFC Holdings (Malaysia)
Berhad, Datuk Ayub Mion dan lebih 1,000 kakitangan syarikat berkenaan.
No comments:
Post a Comment